SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU DAN HARI GURU 2011!

LAGU RASMI PASTI

CARI DALAM BLOG INI

Tuesday, December 21, 2010

PIAGAM PELANGGAN PASTI

Piagam Pelanggan

  1. Pelajar dapat menguasai kemahiran asas 4M (membaca, menulis, mengira and menghafal)
  2. Sentiasa mengemaskini proses pengajaran & Pembelajaran selari dengan perkembangan terkini dalam pendidikan.
  3. Menyediakan suasana pembelajaran kondusif bagi menjamin persekitaran pembelajaran yang sihat.
  4. Sentiasa proaktif terhadap setiap teguran, saranan dan pandangan ke arah kecemerlangan pendidikan PASTI.
  5. Sentiasa mengembangkan potensi murid berdasarkan kecenderungan bakat dan kebolehan masing-masing.

LAGU RASMI PASTI

PASTI CEMERLANG ISLAM GEMILANG

Al-Quran As-Sunnah pegangan kami
Islam cita-cita murni
Allah matlamat kami
Akhlak mulia idaman kami

Kami harapan Ummah
Di PASTI kami diasuh ... diasuh
PASTI pasti berjaya
PASTI pastikan cemerlang ... cemerlang

Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (2X)

Kami harapan Ummah
Di PASTI kami diasuh ... di asuh
PASTI pasti berjaya
Islam islamkan gemilang ... gemilang

Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (2X)

Monday, December 13, 2010

LOGO


Warna:
  • Putih melambangkan kesucian Islam itu sendiri dan fitrah anak-anak di alamnya yang suci, putih, bersih dan sedia dicernakan mengikut fitrah Islam itu sendiri.
  • Hijau melambangkan kesuburan di mana setiap benih itu perlu kepada baja dan perhatian lain yang penuh dalam menghasilkan tunas-tunas yang sihat dan InsyaAllah akan menghasilkan pula pohon-pohon yang subur lagi bermanfaat. Begitulah juga dimaksudkan kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dalam usaha menghasilkan insan-insan yang bertaqwa, berdisplin serta mujahid-mujahid yang benar.

OBJEKTIF PASTI

  1. Menyediakan proses pendidikan awal yang berorientasikan sistem pendidikan Islam ke arah melahirkan anak yang soleh, berilmu dan beramal.
  2. Mendidik jiwa dan akal kanak-kanak dengan didikan Islam bersumberkan ajaran Al-Quran dan Hadis.
  3. Membimbing kanak-kanak supaya menghayati ibadah, akhlak dan cenderong melakukan makruf serta meninggalkan mungkar.
  4. Melatih kanak-kanak membaca, menghafaz dan menghayati Al-Quran , doa dan zikir.
  5. Memberi pengetahuan kepada kanak-kanak asas-asas bahasa, matematik dan komunikasi ke arah kebolehan membaca, mengira, menulis dan menghafal.

VISI DAN MISI

VISI

Melahirkan insan soleh di Malaysia melalui pendidikan pra sekolah sebagai elemen terpenting.

MISI

Meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pengurusan serta kuantiti PASTI di Malaysia bagi menjadikan PASTI pilihan utama kepada masyarakat yang cintakan pendidikan Islam.

FALSAFAH PENDIDIKAN PASTI

FALSAFAH PENDIDIKAN PASTI

1.1 FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA
Pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan keupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

1.2 FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM
Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan Al-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan di akhirat.

1.3 FALSAFAH PENDIDIKAN PASTI
Pendidikan PASTI merupakan satu usaha bersepadu dart berterusan ke arah melahirkan generasi tunas Islam yang unggul dari aspek Syakhsiyyah, keilmuan dan amalan-amalan yang bertunjangkan kepada ISLAM, IMAN DAN IHSAN. Mengambil kira potensi dan bakat yang sedia ada, pendidikan PASTI berusaha mengembangkan kemahiran kognitif, psikomotor, bahasa sosio-emosi dan sosial selain kepelbagaian bakat serta kecerdasan yang sedia terpupuk di dalam diri tunas Islam. Usaha-usaha PASTI menerusi pembentukan peribadi unggul ini bertujuan mempersiapkan diri mereka menjadi warga yang cintakan negara serta berpegang teguh dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian supaya diredhai oleh Allah SWT di dunia dan di akhirat.

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA MALAYSIA

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA MALAYSIA
Pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan keupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Sejarah PASTI Malaysia


Cetusan idea untuk menubuhkan pusat prasekolah Islam telah bermula sejak akhir tahun 1970-an. Perkembangan pendidikan yang semakin pesat dan pertumbuhan pusat-pusat didikan prasekolah yang semakin meningkat telah menyemarakkan lagi semangat para pejuang dan pencinta Islam untuk memberikan suatu alternatif kepada sistem pendidikan yang sedia berjalan. Hasil daripada itu maka timbullah idea untuk menubuhkan pusat pendidikan prasekolah Islam. Pada peringkat awalnya diberi nama TADIKA ISLAM.

Antara negeri-negeri awal yang melaksanakan program ini ialah Kedah dan Terengganu. Satu perkara yang menarik pada ketika itu ialah dari segi pengasasan pengelolaan dan pengendalian pusat-pusat berkenaan. Persefahaman antara jamaah Islam khususnya Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah membahagikan peranan pendidikan pra sekolah kepada ABIM seawal tahun 1980 an. Maka lahirlah pusat- pusat pendidikan pra sekolah Islam yang diberi nama Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI).

Di Terengganu pada tahun 1985 TASKI dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Manakala di Kelantan pusat pra sekolah yang dikenali sebagai Putra Islam yang di kendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan sejak tahun 1988.
Di Kedah dan beberapa negeri lain khususnya di sebelah utara telah wujud pusat-pusat pra sekolah yang diberi nama Pusat Asuhan Tunas Islam ( PASTI) yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS negeri masing-masing. Tanggal 10 April 1987 Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Muktamar Tahunan Ke-28 telah meluluskan usul pendidikan yang mendesak diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Prasekolah dibentuk di peringkat Pusat. Ustaz Abu Bakar Abdullah dari Terengganu telah dilantik sebagai Pengarah Jabatan PASTI yang pertama.

Seminar PASTI
Pada 29- 30 Mei 1988 telah berlangsung Seminar Prasekolah di Masjid Rusila Marang, Terengganu yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Dua kertas kerja telah dibentangkan iaitu "Struktur Organisasi dan Penyelarasan Pendidikan Prasekolah" oleh Ustaz Abd Halim Arshat dan "Penyelarasan Manhaj Pendidikan Prasekolah' oleh Ustaz Harun Taib. Ustaz Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai Ketua Pengarah PASTI Pusat yang pertama pada 18 Mei 1989 bersama Sdra. Haji Mohd Najib Fahami Haji Yahaya sebagai Timbalan Ketua Pengarah. Sdra. Ishak Ismail sebagai Setiausaha dan Sdra. Noh Ahmad sebagai Bendahari serta Pengarah-Pengarah PASTI Negeri sebagai Ahli Jawatankuasa PASTI Pusat.

Logo
Pada 21 Julai 1991 Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengarahkan semua PASTI menggunakan logo baru yang rasmi dalam semua urusan PASTI. Logo ini telah direka oleh Raja Abdul Aziz Raja Ailan yang memenangi Pertandingan Mencipta Logo PASTI yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat.
PASTI terus berkembang seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dunia hari ini dengan pertambahan kelas-kelas di seluruh negara dan pada suatu ketika meratai kesemua 14 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.

Sunday, December 12, 2010

Sejarah PASTI Nurul Hidayah

GAMBAR DI ATAS: ANTARA PELAJAR TERAWAL SEKITAR 1998

Ura-ura untuk menubuhkan sebuah pra-sekolah bercorak Islam di Teluk Kumbar  telah difikirkan sejak tahun 1990-an lagi. Penubuhan PASTI pusat telah menyemarakkan lagi semangat untuk menubuhkan PASTI di setiap daerah.
Penubuhan PASTI Nurul Hidayah , Teluk Kumbar merupakan rentetan dari penubuhan PASTI di Sg. Batu Teluk Kumbar.
Pada masa itu pendidikan PASTI tertumpu di rumah saudara Ghani di Sungai Batu, Teluk Kumbar .

Lama-kelamaan di dapati PASTI yang jauh tidak lagi praktikal maka penemuan demi penemuan telah dijalankan secara tidak langsung untuk berbincang mengenai penubuhan PASTI yang baru di Teluk Kumbar. Akhirnya penantian berakhir apabila  sebuah kawasan yang agak sesuai untuk dibina PASTI ditemui . Ia adalah ihsan Tn. Haji Latif Md. Nor  di Kampung Paya, Teluk Kumbar. Pada peringkat awal PASTI dibina untuk mendidik anak-anak ahli PAS di sekitar Teluk Kumbar.

Setelah tapak bangunan PASTI ditentukan maka sebuah bangunan yang dikembarkan dengan sebuah rumah beralamat di 173 Mk. 9,  Kg. Paya  telah dibina secara gotong-royong  dan hasil derma  penduduk. Akhirnya pada tahun 1998  bangunan itu dengan resminya telah dijadikan PASTI. Ia menggunakan kurikulum dari PASTI pusat sepenuhnya....

Pada waktu itu PASTI beroperasi  dua sesi yakni pada waktu pagi (lebih kurang 24 orang murid ) dan petang (lebih kurang 24 orang murid) . Pada waktu itu hanya murid berumur 6 tahun sahaja diambil belajar dan belum lagi dilengkapkan dengan uniform PASTI....bersambung. Pengerusi PASTI nurul Hidayah ialah En. Ibrahim ("Pak Im"). Antara individu yang tidak boleh dilupakan dalam penubuhan PASTI ini ialah allahyarham Tn. Hj. Yusof b. Saleh bekas Imam masjid Teluk Kumbar.

Kini PASTI mempunyai hampir 100 orang murid lelaki dan perempuan berumur 4 hingga 6 tahun. Mereka  dibimbing oleh 3 orang guru dan dibantu oleh 2 orang pembantu.
Murid berpakaian uniform PASTI. ...bersambung (harap maaf sedang diedit)

Gaji bulanan adalah berdasarkan kutipan  yuran  murid yakni RM30.00 sebulan.